Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Mei. - Seramai 230 orang lagi bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi penerbangan keempat dan terakhir bertolak menuju Madinah pagi tadi menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4207, dan dijangka tiba pada jam 3.20 petang waktu Madinah.
Bakal-bakal jemaah haji penerbangan keempat berkenaan terdiri daripada 112 bakal jemaah haji lelaki dan 115 bakal jemaah haji perempuan yang mengikuti Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), dan tiga pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan).
Mengiringi bakal-bakal jemaah haji bagi penerbangan keempat berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) dan pegawai DSSB.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar kepada bakal-bakal jemaah haji NBD, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pemangku Menteri Kesihatan; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Haji Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan isteri; serta Ahli-ahli Jemaah Penasihat Haji, pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah KHEU.
Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Awang Haji Haris bin Haji Suboh, manakala azan dilaungkan oleh Imam Tingkat III, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Haji Hamdini bin Haji Garif.